‘Tak tau depa beli laksa mana’ – Waris mangsa

BALING – Kes laksa dikaitkan keracunan yang dipercayai dibeli di Sri Landak kini semakin rumit apabila waris salah seorang mangsa meninggal dunia mengakui tidak tahu dari mana makanan itu dibeli.

Sumber keluarga berkata, ibu saudaranya Rosiah Ali Musa, 71, makan laksa dibeli jiran pada Jumaat malam Sabtu

Menurutnya, bila dan di mana lokasi laksa itu dibeli tidak dapat dipastikan.

'Tak tau depa beli laksa di mana' - Waris mangsa

Allaryarham Rosiah (kanan) meninggal dunia Ahad lalu.

“Depa kata laksa itu dimakan pada Jumaat malam Sabtu. Katanya, jiran beli banyak laksa itu dan sedekah kepada ibu saudara saya. Tak tahu juga dari mana laksa dibeli.

“Arwah makan bersama anaknya (Norliza Shaari, 40an) dan kira-kira jam satu pagi hari Sabtu mereka berdua sakit perut. Pagi Sabtu arwah dirawat di hospital di Hospital Gerik, sebelum disahkan meninggal dunia hari Ahad jam 9.15 malam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Sumber berkata, ketika melawat Rosiah petang Sabtu lalu, kaki kedua warga emas itu bengkak.

“Bila tanya doktor dimaklumkan ia mungkin sebab paru-paru berair, ibu saudara juga waktu itu gelisah dan penat,” katanya

Menurutnya, isteri kepada pengusaha laksa kebok, Habshah Ibrahim, 51, itu dikenali kerana mereka berdua adalah kawan.

Sinar Harian semalam melaporkan gerai laksa kebok milik Daud Ismail, 51, tidak dibuka pada Jumaat lalu.

‘Kami tak buka gerai hari itu’

'Tak tau depa beli laksa di mana' - Waris mangsa

Suami Habsah, Daud Ismail menunjukkan gerai laksa kebuk yang tidak dibuka Jumaat lalu.

Isteri kepada pengusaha laksa kebuk hairan bagaimana timbul dakwaan yang mengaitkan insiden laksa tercemar dengan gerai suaminya sedangkan mereka tidak berniaga pada 5 Oktober lalu.

Habsah Ibrahim, 51, berkata, pada tarikh tersebut, mereka sekeluarga pergi mendengar kuliyah di Pondok Arwah Tuan Guru Hj Salleh di daerah Sik.

“Saya terbaca daripada kenyataan ayah mangsa OKU yang meninggal dunia di akhbar Katanya laksa tiga bungkus dibeli pada hari itu sedangkan gerai kami tidak dibuka.

“Pada hari itu, kami balik rumah jam 12 tengah hari. Petang tak berniaga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya Kampung Sri Landak, di sini hari ini.

Menurutnya, rumah di depan gerai jualan laksa kebuk, dihuni tujuh individu.

“Di rumah ini kami tujuh orang termasuk anak, menantu dan seorang cucu. Setiap jumaat jika tiada urusan penting kami mendengar kuliah di sana,” katanya.

Habsah berkata, tohmahan berterusan pengguna di media sosial dapat dihadapi dengan sokongan anak-anak dan masyarakat .

“Anak-anak selalu ingatkan ini ujian daripada ALLAH. Masyarakat sekitar juga berikan semangat kepada keluarga kami,” katanya.

Pada 5 Oktober lalu, Abd Manan Abd Hamid, 58, mendakwa membeli tiga bungkus laksa daripada sebuah gerai di Kampung Sri Landak.

Anaknya Abdul Rahim, 28, disahkan meninggal dunia Sabtu lalu.

Sumber dari Sinar Harian