Misteri lelaki tua bertongkat terjawab

Sungai Petani: Polis mengesahkan lelaki yang masuk ke perkarangan sebuah rumah di Taman Cengal, di sini, seperti yang tular di laman sosial sejak semalam didapati kurang waras.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki itu tidak tahu apa yang dibuat di situ malah turut berbogel di hadapan pasukan polis.

Beliau berkata, isteri lelaki itu turut bersama ketika kejadian.

“Lelaki itu juga mengalami masalah buah pinggang dan ada tiub di perutnya.

“Bagaimanapun tiada tindakan diambil berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian yang tular sejak semalam, seorang penduduk taman perumahan memaklumkan jirannya hampir dipukau selepas menyedari lelaki tua bertongkat masuk ke kawasan kediamannya.

Sebelum kehadiran lelaki itu, jirannya menyedari sebuah Proton Iswara berwarna merah berlegar di kawasan itu pada jam 5.20 pagi.

Apa yang menjadi misteri ialah pagar rumah itu dikunci automatik dan timbul persoalan bagaimana lelaki terbabit boleh masuk ke perkarangan kediaman tanpa ada kesan kopak pada pagar.

Justeru penduduk meluahkan kebimbangan dan memaklumkan kejadian kepada polis.

Penduduk turut mendakwa kawasan kediaman mereka kerap terputus bekalan elektrik serta alat penggera tiba-tiba berbunyi pada jam 4 atau 5 pagi hampir setiap hari.

Sebelum ini sebuah keluarga di Taman Cengal Jaya di sini kehairanan apabila didatangi seorang lelaki tua bertongkat muncul di pekarangan rumah mereka pada awal pagi Khamis lalu sekali gus menimbulkan tanda tanya.

K Tiyagarajan, 64, berkata, sekitar jam 6.10 pagi pada hari tersebut, dia terus memeriksa keadaan di luar rumah selepas mendengar anjing peliharaannya menyalak.

“Menerusi tingkap saya periksa luar rumah dan ternampak seorang lelaki memakai kain pelekat, bertongkat dan tidak berkasut di pekarangan rumah saya. Dia kelihatan agak pelik.

“Dua ekor anjing peliharaan saya juga tidak lagi menyalak membuatkan saya, isteri dan dua anak lelaki terkejut kerana kebiasaannya akan menyalak kepada indvidu tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kisah mengenai kunjungan lelaki tua itu kemudian tular di media sosial.

Menurut Tiyagarajan, lelaki tua berkenaan memberitahu datang ke rumahnya bersama seseorang yang disebutnya sebagai ‘kakak’ yang sedang menunggu di luar rumah.

Check Also

“InsyaAllah Bekalan Di Alam Kubur Daddy & Mommy” – Anaqi Mula Rajin Mengikuti Solat, Amar Baharin Berdoa Semoga Anak Menjadi Insan Soleh

Setiap ibu bapa sudah pasti ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak dengan harapan si kecil …

Leave a Reply

Your email address will not be published.