Dah Lama Tak Ada ‘Show’… Usop Buat Segala Jenis Pekerjaan Demi Kumpul Duit Perkahwinan, Tak Malu Live Di IG Menjual Baju Bundle

SETELAH berjaya membuka restoran francais yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Ogos lalu, penyanyi Usop kini menjual pakaian terpakai atau bundle secara dalam talian di Instagram.

Walaupun telah menjadi penyanyi terkenal, Usop yang nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Mohd Nor, 24, mengakui bahawa beliau tidak kekok dan malu melakukan pelbagai pekerjaan untuk menambah sumber pendapatannya.

“Selain menguruskan gerai nasi kandar milik keluarga dan restoran Ayam Gepuk, saya kini mencuba perniagaan baharu pula iaitu menjual baju bundle berjenama di Instagram sejak seminggu lalu, setiap malam saya buat live dan pembeli boleh buat bidaan dan pilih baju-baju yang mereka minat.

“Sejujurnya saya ni memang jenis tak reti duduk diam, apa-apa pekerjaan pun saya sanggup buat asalkan pendapatan halal… tak kisahlah orang nak kata pun.

“Saya tak malu mencari rezeki dalam pelbagai bidang, lagi pun tak salah ceburi bidang perniagaan bukannya saya merompak atau mencuri,” katanya.

Usop jual baju bundle menerusi siaran langsung di Instagram.

Berkongsi pengalamannya menjalankan perniagaan pakaian terpakai itu, Usop mengakui bahawa beliau pernah ditipu oleh pembeli yang menghilangkan diri setelah membuat bidaan dan tawaran.

Namun beliau menganggap apa yang terjadi itu sebagai ujian dan cabaran sebagai seorang peniaga.

“Ada la beberapa kali orang yang berjaya membida dan lock baju menghilang diri… mereka mahu main-main sahaja!”

USOP -PENYANYI-

“Alhamdulillah sambutan menggalakkan. Kita punya baju bundle memang berkualiti dan berjenama, jadi banyak pakaian rare yang susah nak dicari di mana-mana butik.

“Kalau ditipu pembeli tu biasalah. Ada la beberapa kali orang yang berjaya membida dan lock baju menghilang diri… mereka mahu main-main sahaja. Itulah salah satu cabarannya,” ujarnya.

Selain ingin menambah pendapatan keluarganya, penyanyi lagu Selamanya ini mengatakan bahawa salah satu sebab beliau melakukan pelbagai pekerjaan adalah kerana ingin mengumpul duit untuk berkahwin.

Usop pernah mendedahkan wajah kekasih kepada umum pada November lalu.

“Sekarang ni show pun tak ada. Nak menyanyi pun tak boleh, jadi saya cuba la buat apa-apa kerja lain.

“Walau apa pun berlaku kita masih lagi perlu bekerja untuk kelangsungan hidup. Tak bolehlah berharap pada satu sumber pendapatan sahaja.

“Selain untuk menyenangkan keluarga, saya juga buat banyak kerja sebab nak menghalalkan hubungan dengan kekasih… perancangan nak kahwin tu dah ada jadi kena la mula menyimpan dari sekarang,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran filem tidak lama lagi.

Pada bulan November tahun lalu, Usop mendedahkan wajah kekasihnya kepada orang ramai dan merancang untuk segera mendirikan rumah tangga dengan wanita berasal dari Pulau Pinang tersebut.

 

Check Also

“Memori hampir hilang ketika terlantar, saya ditatang bagai bayi yang masih kecil” Dijaga 15 Tahun Oleh Edika Yusof, Ini Luahan Isteri

adalah seorang seorang pelakon yang masih menghiasi kaca televisyen dan popular diminati ramai hingga kini. …

Leave a Reply

Your email address will not be published.